Pengunjung digalakkan menggunakan browser Mozilla Firefox untuk paparan yang lebih baik dan menghindarkan daripada adsense yang tidak diperlukan.

Monday, October 08, 2007

Mendodol Sempena Hari Raya Aidil Fitri

Negeri Melaka memang terkenal dengan DODOL. Ianya bagai tak boleh dipisahkan setiap kali menjelang Aidil Fitri. Begitu juga dengan keluarga aku. Setiap kali menjelang Syawal, mak aku takkan lupa untuk menyediakan ibu segala kueh ini. Ianya bagaikan satu kemestian untuk membuat DODOL. Ditambah pula adik beradik aku seramai 9 orang yang mana lelaki adalah 7 orang, pasti ianya mengamit tenaga kami untuk bergotong-royong menyediakan kueh segala kueh ini.

Namun begitu, masa telah berubah, kalau dulu kederat aku mampu untuk bertahan sampai siap, tapi kini tidak lagi. Nasib baik adik-adik lelaki aku seramai 4 orang lagi mampu mengerjakannya.

"Dah 2 tahun aku tak pulang bergotong royong mengacau dodol. Kali ini aku mesti balik menyahut seruan mak aku ..." bisik aku sendirian.

"Kamal, mak nak mengacau dodol 6 haribulan nanti, balik le", kata mak aku dalam telefon.
"Berapa banyak nak buat?", tanya aku lagi.
"1 gantang setengah", jawab mak aku.
"Ya..lah mak, nanti Kamal balik", balas aku.

Aku balik ke kampung dengan anak lelaki aku yang berusia 7 tahun, kerana isteri aku sibuk menjahit baju yang ditempah oleh pelanggannya. Aku sampai kampung aku di Alor Gajah, Melaka yang jauhnya 135 KM dari rumah aku sekitar jam 2:30 petang Sabtu itu. Aku turut sama membantu menyediakan kelengkapan. Memang banyak kerja yang perlu dibuat bermula dari penyediaan bahan hingga ke menyediakan dapurnya (tungku) yang diperbuat daripada tong drum yang dibelah dua.

Tungku ini perlulah diapitkan sekurang-kurangnya dengan 3 batang besi dan diikat dengan dawai keras diantara satu sama lain bagi mengelakkan ianya bergoyang ataupun roboh ketika "mengacau" nanti. Kemudian 3 tin susu (ketuk) perlulah diletakkan di atas tungku tersebut untuk mengimbangi kawah dan memastikan kelancaran pelepasan asap dari bawah. Kalau tak, nanti dodol berbau asap pulak. Pernah terjadi suatu ketika dahulu bilamana tunkunya tak kukuh, habis satu kawah dodol tertumpah ke tanah. Kesian juga tuan rumah tersebut. Dah tu nak buat macam mana...kenalah repeat pada hari yang lain pulak.

Antara tugas-tugas yang telah dibahagi-bahagikan adalah :-

  • Memarut Kelapa - Adik lelaki aku Mohd Naser dan Mohd Nizam
  • Memerah Santan - Mak dan adik perempuan Rokiah
  • Membancuh Tepung - Mak dan adik perempuan Rokiah
  • Menghiris Gula Melaka - Mohd Ali dan isterinya
  • Memasak Gula Melaka - Mak
  • Menyediakan Tungku dan Kayu api - Aku dan Mohd Nor
  • Mendodol - kesemua adik beradik aku (kecuali Angah di Sabah yang tak balik).

Sekitar jam 3:30 petang semua persiapan telahpun tersedia. Aku menyuruh Mohd Nor mula menyalakan api daripada kayu pokok cemperai. Kayu ni bagus dibuat bahanapi kerana kepanasan api yang terhasil adalah serata (stabil) dan tahan lama berbanding dengan kayu pokok getah.

Selepas kawah telah panas, santan mula dimasukkan disertai dengan tepung yang telah siap dibancuh. Kemudian garam perlulah dimasukkan untuk mendapatkan rasa yang baik. Mak aku macam biasa, sebagai pemerhati bagi memastikan kesemua aturan diikuti. Selepas kesemua bahan asas ini telah berada di dalam kawah, maka proses "mengacau" hendaklah dilakukan tanpa henti bagi menjamin tiada kerak terutamanya ditengah-tengah perut kawah tersebut. Sambil itu keadaan api perlu dikawal agar tidak terlalu marak atau tidak terlalu perlahan.

Selang sejam selepas itu, santan dan tepung tadi telah mula pekat dan pada masa ini, perhatian terus perlu diberikan agar tiada kerak terhasil. Kalau ada kerak, kenalah diasingkan. Lepas berbuka puasa gula pasir mula dimasukkan berselang dengan Gula Melaka dan Gula Melaka yang telah dimasak cair.

Abah macam biasa le..."merasa" le sikit "mengacau" dodol nie.

Menjelang jam 9 malam, kerja mendodol semakin bertambah berat bilamana dodol tadi telah mula pekat. Waaduh....Masa nie memang azab....3, 4 kali "mengacau" dah kena bertukar tangan dengan adik-adik yang lain. Along aku ternyata dah tak sekuat dulu, masa zaman bujang....yang mana kerja-kerja mendodol ini dilakukan secara gotong royong di dalam kampung. Tenaga kerja masa tu sekitar 20 orang .....dan dilakukan secara bergilir-gilir antara rumah ke rumah. Seronok, weh....Lagi seronok kalau tuan rumah ada anak gadis yang sediakan makanan dan minuman. Masa nielah nak ngurat ke, nak borak-borak ke....kira tak jadi buah mulut orang. Tapi zaman semeriah itu telah berlalu pergi meninggalkan seribu kenangan buat mereka-mereka yang seangkatan dengan aku.
Akhirnya sekitar jam 11:30 malam selepas mengambil kira kepekatan dan rasanya dan tempoh masa selama 7 1/2 jam, maka aku memutuskan kepada semua yang dodol dah boleh diangkat.

"Dah mak....boleh angkat dah", kata aku.

Bab memasukkan dodol ke dalam bekas ni pulak satu hal lagi. Kalau tak mahir...alamatnya akan tumpah le dodol tu ke tempat lain...Pelepah pisang digunakan bagi mengelakkan dodol tersebut melekat. Kalau dulu kami gunakan "tampin" yang diperbuat daripada daun mengkuang sebagai bekas untuk mengisi dodol. Tetapi sekarang nie payah nak cari dah...Harganya juga agak mahal.

Sebagai gantinya, bekas plastik tahan panas digunakan. Banyak jugak dapat. Tapi aku tak sempat nak kira berapa banyak. Dapat le aku bawak balik sedikit untuk diagih-agihkan kepada kawan-kawan mana yang dah pesan awal-awal lagi bila diorang tahu aku nak balik kampung mendodol.

Selepas itu kerja-kerja terakhir "memupuk" hampas kelapa ke dalam kawah tadi dilakukan bagi dan dibiarkan semalaman bagi
memudahkan membasuh kawah tersebut pada keesokkan harinya.

Secara puratanya kerja-kerja mendodol ini mengambil masa seharian bermula dari awal pagi. sebab itulah, maka ianya digelar sebagai raja segala kueh. Penat?...memang tak boleh nak cakap.

Sekitar jam 12:30 malam aku meminta izin daripada mak dan abah aku untuk pulang semula ke Puchong. Puas hati aku walaupun keletihan kerana Ramadhan tahun ini aku dapat sama-sama dengan adik-beradik aku yang lain bergotong-royong mendodol.



No comments: